Akta Perihal Dagangan 2011 basmi salah guna logo halal

ISU halal dan haram sudah lama menjadi topik perbincangan di negara ini, khususnya dalam soal penyediaan makanan di restoran milik bukan Muslim dan penyembelihan haiwan ternakan mengikut hukum syarak. Selain itu, terdapat sebilangan restoran bukan Muslim menampal poster atau menggantung ayat suci al-Quran pada dinding premis mereka bagi meyakinkan pelanggan Muslim bahawa makanan yang disediakan adalah halal. Perbuatan ini bukan perkara baru kerana sudah lama dilakukan dengan bebas oleh kebanyakan pemilik restoran bukan Muslim. Hanya segelintir saja dikenakan tindakan pihak berkuasa tempatan, manakala yang lain dibiarkan meneruskan perniagaan tanpa sebarang tindakan.

Yang anehnya, orang Melayu juga tidak begitu menghiraukan status halal atau haram makanan disediakan restoran terbabit. Asalkan ada ayat suci al-Quran, itu sudah memadai dan dianggap sebagai halal, sedangkan kalau diperhatikan kebanyakan premis berkenaan turut menjual minuman keras atau arak. Banyak juga restoran bukan Melayu turut mempamerkan logo halal tanpa pengesahan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) atau pihak berkuasa agama negeri dengan sewenang-wenangnya tanpa berasa bimbang dikenakan tindakan pihak berkuasa. Justeru, kita percaya apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan membentangkan rang undang-undang Akta Perihal Dagangan 2011 di Parlimen kelmarin, umat Islam di negara ini menyambut baik langkah itu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap restoran yang menimbulkan kekeliruan itu.

Selama ini ramai orang Melayu melanggan restoran bukan Muslim tanpa menyedari bahawa mereka menjadi mangsa penipuan atau dikelirukan dengan status halal di restoran tertentu hanya kerana terdapat ayat suci al-Quran menghiasi dinding restoran terbabit, selain mempamerkan kalimah Allah dan Muhammad. Ada juga pengusaha restoran menggantung gambar Masjidil Haram dan Masjid Nabawi bagi meyakinkan lagi pelanggan beragama Islam mengenai kesucian makanan yang dihidangkan di premis masing-masing. Selain itu, kebanyakan restoran berkenaan turut menggunakan pekerja asing beragama Islam dan bertudung bagi meyakinkan pelanggan Muslim mereka. Apabila akta itu dikuat kuasa mulai 1 Januari tahun depan, restoran milik bukan Muslim yang sewenang-wenangnya mempergunakan ayat suci al-Quran bertujuan mengelirukan pelanggan Islam bakal berdepan tindakan mahkamah. Pengguna juga boleh membuat aduan mengenai kewujudan restoran terbabit dan kementerian yang bertanggungjawab akan mengambil tindakan sewajarnya ke atas pemiliknya.

Serentak penguatkuasaan akta itu, logo halal diseragamkan kerana pada masa ini ada tujuh syarikat swasta diberikan kuasa mengeluarkan sijil halal selain JAKIM dan Majlis Agama Islam Negeri. Kita berpendapat memang tidak wajar memberi kuasa untuk mengeluarkan logo halal kepada syarikat swasta kerana sebagai entiti perniagaan, syarikat terbabit sudah tentu mempunyai motif keuntungan, yang boleh mendorong kepada berlaku pelbagai masalah lain, termasuk penyalahgunaan kuasa. Demi menjaga kesucian Islam, umat Islam diingatkan lebih berhati-hati dan jangan mudah terpedaya ketika melanggan restoran bukan Muslim yang tertera logo halal dan melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesyaki berlaku penipuan.

About FahmieSabri

Lecturer at Politeknik Merlimau Melaka, Tourism & Hospitality Department

Posted on January 14, 2012, in Uncategorized. Bookmark the permalink. Leave a comment.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: